Monday, February 16, 2009

Islam benci sikap meminta-minta

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan ) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta-minta (tidak menjadi pengemis ) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga serta masyarakat.

Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.


Kita perlu ingat hanya rezeki yang halal saja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah kerana rezeki yang diambil daripada punca haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan saja di dunia malah di akhirat juga.

Allah mewujudkan sifat semula jadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah yang bermaksud: "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 26)

Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang memerlukannya kerana kesenangan diberi oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

Oleh itu demi mencari keredaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan.


No comments:

Post a Comment