Tuesday, February 10, 2009

Demonstrasi jalanan rosakkan nilai kemanusiaan

Umat Islam harus belajar makna kebebasan dalam menyampaikan aspirasi masyarakat

AKHIR-AKHIR ini, dilihat kebebasan berdemokrasi dan berakhir dengan tindakan anarkis (melampau) atau berdemonstrasi jalanan.

Suatu situasi cukup memilukan. Tragedi untuk sebuah nilai kemerdekaan di sebalik kebebasan demokrasi.

Mereka menyuarakan idea, konsep, pemikiran, aksi dan tindakan yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat dan negara.

Kes ini harus dicegah atas nama hukum yang berlaku di sebuah negara supaya tidak merebak dan membahayakan masyarakat dalam sesebuah negara itu.

Ekstrem adalah tindakan yang berlawanan dengan nilai kemanusiaan universal yang pasti ditentang oleh semua orang yang berfikiran waras.

Ironisnya, tingkah laku anarkis sering kali dilakukan dengan berdemonstrasi di kalangan terdidik yang bersembunyi di belakang kebebasan demokrasi.

Pelik, seolah-olah demonstrasi dan kekerasan sudah menjadi gelanggang utama dan amalan negara di dunia termasuk di negara kita. Ini menunjukkan kecerdasan mereka yang melakukan demonstrasi masih rendah atau berfikiran cetek.

Kita lebih mementingkan jalan kekerasan daripada membangun dialog dan mencari titik pertemuan dari pelbagai persoalan yang dihadapi secara muafakat atau berbincang untuk mencari titik penyelesaian untuk faedah semua pihak tanpa menimbulkan ketegangan masyarakat.

Kekerasan seperti menjadi budaya rakyat kita yang dikenali sebagai bangsa penyantun, ramah-tamah dan suka kedamaian.

Tindakan ini mengakibatkan kerugian yang bukan sedikit terhadap situasi bangsa kita secara fizikal dan mental kerana mereka yang melakukan demonstrasi kerap kali merosakkan harta awam serta kenderaan yang digunakan oleh pihak keselamatan yang menjaga keamanan negara.

Inikah yang dinamakan kebebasan demokrasi? Kenapa menyuarakan suara hati dengan melakukan tindakan memaksa, ancaman, ugutan melalui demonstrasi jalanan dan tindakan jenayah?

Apakah kebebasan berdemonstrasi hanya dilakukan dengan kepentingan segelintir orang yang haus dengan kekuasaan.

Kita harus banyak belajar mengenai erti kebebasan yang sebenarnya khususnya dalam menyampaikan aspirasi masyarakat.

Kebebasan secara umum bererti terlepas daripada ikatan sehingga dapat bergerak sesuka hati.

Tetapi mengertikah bebas seperti itu adalah berkaitan dengan manusia yang dikuasai hawa nafsu. Hal itu boleh mengorbankan hak dan kebebasan orang lain.

Oleh itu, kebebasan itu harus dibatasi dengan hal yang dapat diatur penggunaannya pada suatu tempat atau wilayah yang tidak membahayakan orang lain.

Dalam keadaan seperti itu, kebebasan tidak bercampur dengan kekacauan dan kekerasan. Maka kebebasan itu menjadi kebebasan bertanggungjawab.

Ketika muncul Islam, dunia dipenuhi perhambaan. Manusia diperhambakan alam pemikirannya, politiknya, sistem kemasyarakatan, keagamaannya, mahupun ekonominya. Islam kemudian mengubah semuanya. Islam datang dengan mengikrarkan kemerdekaan, baik kemerdekaan beriktikad, kemerdekaan berfikir, kebebasan beraksi, dan kebebasan bercakap atau kebebasan mengemukakan pendapat dan penulisan.

Islam datang dan menetapkan prinsip kebebasan dan kemerdekaan. Dalam hal ini, Khalifah Umar al-Khattab pernah mengucapkan perkataannya yang masyhur.

“Sejak bila kamu memperhambakan manusia, pada hal mereka dilahirkan oleh ibundanya dalam keadaan merdeka?".

Saidina Ali Abi Talib, berkata dalam sebuah pesannya: "Janganlah engkau menjadi hamba orang lain, sesungguhnya Allah menjadikan sebagai orang merdeka."

Melihat kebebasan dalam Islam, paling tidak kita dapat melihat daripada aspek berikut:

l Pertama, kebebasan beragama

Islam datang sebagai agama, ia menetapkan kebebasan beragama dan kebebasan berkeyakinan. Islam tidak memaksa seseorang untuk menganut atau menganut agama lain.

l Kedua, kebebasan berfikir

Islam sangat menghargai kebebasan berfikir dan kebebasan ilmiah.

Kita lihat bagaimana ulama berbeza pendapat, sebahagian daripada mereka menolak atau menerima pendapat sebahagian yang lainnya. Namun tidak seorangpun di antara mereka yang menganggap tercela golongan lainnya.

Justeru, melihat bagaimana sikap berlapang dada ulama dalam menghadapi perbezaan pendapat. Semua itu adalah bukti menunjukkan kebebasan berfikir dan kebebasan ilmiah dijunjung tinggi di kalangan umat Islam.

Kebebasan mengemukakan pendapat dan mengemukakan kritikan juga diakui Islam, bahkan diberi kesempatan lebih banyak ketika hal ini dijadikannya sebagai sesuatu yang wajib bila berhubungan dengan kemaslahatan umat atau kepentingan adab dan akhlak umum.

Kita harus berani mengucapkan kebenaran, jangan takut dicela orang dalam menegakkan agama Allah, dalam melakukan amar makruf nahi mungkar dan mengajak manusia kepada kebaikan.

Jelas bahawa bertitik tolak daripada kebebasan berfikir, mengkritik, menyampaikan gagasan dan seumpamanya adalah atas nama kebaikan, kemaslahatan awam, dan dengan jalan perdamaian berlandaskan peraturan.

Kebebasan seperti ini dapat berubah kedudukannya dari hak menjadi wajib.

Jika tidak ada orang lain dapat melaksanakannya selain diri kita atau jika kita diam akan menimbulkan bahaya kepada umat, pada waktu itu kita wajib mengutarakan kebenaran. Jangan takut terhadap risiko akan terjadi.

l Ketiga, kebebasan beraksi

Islam juga sangat menghargai sikap dan tingkah laku kita.

Umat Islam diberikan kebebasan untuk bekerja, beramal dalam menggapai kurniaan Allah.

Sebelum kita bekerja, harus memilih pekerjaan sesuai dengan etika moral yang diajarkan agama. Tidak setiap pekerjaan yang menghasilkan wang mendapat keredaan Allah.

Kebebasan dalam beraksi, bekerja, bertindak bukanlah bebas tanpa peraturan dan undang-undang serta hukumnya.

Berdemonstrasi atas nama demokrasi melalui tindakan melampau, kejam dan memaksa bukanlah bahagian dari kebebasan yang dikehendaki dan ia menyalahi nilai kemanusiaan sejagat.

Islam tidak mengajarkan kebebasan untuk berbuat fasik, tetapi kebebasan untuk melaksanakan kebenaran dan hak. Islam mengakui kebebasan berfikir, berpendapat, bercakap, mengkritik, beragama dan bertindak.

Inilah kebebasan menjadi tumpuan dan tempat menggerakkan kehidupan. Kita bebas untuk melakukan transaksi, bebas untuk melakukan sesuatu tidak mengganggu orang lain. Bebas melakukan sesuatu dengan syarat dan ketentuan hukum dan undang-undang yang disyariatkan, tanpa merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Itulah kaedah umum dalam Islam, iaitu 'La dharara Wa La Dhirar' (Jangan engkau membuat mudarat bagi dirimu, dan jangan berbuat yang membahayakan bagi orang lain).

Hukum dan undang-undang mesti ditegakkan secara tegas dan pasti dikenakan kepada sesiapa yang bersalah, atau yang melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang agama dan pemerintah.

No comments:

Post a Comment