Thursday, March 26, 2009

Istiqamah laksana amanah bela rakyat sifat pejuang sejati

ISTIQAMAH antara sifat yang amat dititikberatkan Islam. Sifat ini yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Istiqamah adalah disiplin agama yang menganjurkan umatnya melakukan pekerjaan dan amalan berterusan.

Istiqamah adalah perkataan Arab bermakna terus diminta berdiri. Istiqamah dalam konteks ini merujuk kepatuhan, ketaatan dan ketekunan mengamal serta melaksanakan tugasan atas kepentingan agama serta ummah. Jelas, istiqamah sebagai disiplin adalah pelengkap penting dalam mencapai aspirasi yang dihasratkan.

Daripada Abi Amrah Sufyan Abdillah katanya: "Aku bertanya: Ya Rasulullah, ajar kepadaku mengenai Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakan aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah."


Namun keseluruhan makna yang dicadangkan mengenai istiqamah menjurus kepada terus menerus dalam kerja dan tugasan. Pemimpin yang beristiqamah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara berterusan dan tidak bermusim.

Rasulullah SAW pernah ditanya amal yang disukai Allah. Baginda menjawab: "Amal paling disukai Allah adalah amal dilakukan secara rutin walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam, malah rasul dan nabi ditegaskan Allah supaya terus beristiqamah dalam menjalankan tugas serta kewajipan kerasulan dan kenabian mereka. Firman Allah bermaksud: "Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan." (Surah Hud, ayat 112)

Allah mengingatkan Nabi Musa supaya terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan Firaun. Firman Allah yang bermaksud: "Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu." (Surah Yunus, ayat 89)

Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyaasah as-Syar'iyyah pernah menegaskan kepemimpinan adalah amanah. Justeru, untuk memilih pemimpin tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan secara bijaksana. Pemimpin yang berkesan sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah dan berterusan secara bersama bagi seorang pemimpin amat penting dan perlu diutamakan bagi memastikan gerak kerja tidak berciciran di tengah jalan. Pemimpin yang hilang daya, menjalankan tanggungjawab dan kegiatan secara bermusim ialah pemimpin yang tidak istiqamah. Apabila tiba masa memilih pemimpin, baru menunjukkan seolah-olah mereka bekerja.

Hakikatnya kedudukan pemimpin tidak ada bezanya dengan rakyatnya. Pemimpin tidak harus menganggap dirinya istimewa. Ia hanya orang yang didahulukan selangkah kerana mendapatkan kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Pemimpin yang baik memiliki sifat terbuka untuk dikritik. Mereka harus mendahului aspirasi rakyat dan terbuka menerima kritikan bersifat membina. Mereka tidak seharus menganggap kritikan sebagai alat pemusnah untuk menjatuhkannya oleh lawan.

Saidina Umar berkata: "Belajarlah sebelum kamu menjadi pemimpin". Maknanya, pemimpin perlu menimba pelbagai ilmu supaya sedia menghadapi kemungkinan yang datang. Pemimpin yang berterusan dengan amanah rakyat menjadi kunci kepada keyakinan serta kepercayaan orang bawahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam pemilihan kepemimpinan yang bersifat demokrasi, undi rakyat adalah kuasa penentu. Menggunakan wang untuk mendapat sokongan adalah mencabul hak demokrasi diamalkan.

Islam membenci pemimpin memberi wang (rasuah politik) dan mereka yang menerima wang). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua jasad yang tumbuh daripada penghasilan yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Pemimpin sejati sentiasa meletakkan dirinya berbakti untuk rakyat dan mengabdikan diri kepada Allah. Pemimpin perlu senantiasa memohon pertolongan Allah dan berbuat ihsan sesama manusia.

Umumnya al-Quran sudah memberi gambaran kriteria pemimpin yang harus dipilih, iaitu seperti ditegaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya sudah Kami tulis dalam Zabur sesudah (sesudah Kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-Ku yang salih." (Surah al-Anbiya', ayat 105)

Meletakkan pertimbangan iman dan akal dituntut ketika membuat pemilihan menentukan barisan kepemimpinan. Sikap untuk cuba sewajarnya mesti dikikis ketika membuat pemilihan. Renunglah masa depan ummah dan generasi akan datang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

No comments:

Post a Comment