Wednesday, March 17, 2010

Kedudukan Wanita dalam Islam

Segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam. Shalawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi dan Rasul yang paling mulia, kepada keluarganya, sahabatnya, serta kepada siapa saja yang meniti jalannya sampai hari pembalasan.

Sesungguhnya wanita memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam dan pengaruh yang besar dalam kehidupan setiap muslim. Dia akan menjadi madrasah pertama dalam membangun masyarakat yang shalih, tatkala dia berjalan di atas petunjuk Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Karena berpegang dengan keduanya akan menjauhkan setiap muslim dan muslimah dari kesesatan dalam segala hal.

Kesesatan dan penyimpangan umat tidaklah terjadi melainkan karena jauhnya mereka dari petunjuk Allah dan dari ajaran yang dibawa oleh para nabi dan rasul-Nya. Rasulullah bersabda, “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, di mana kalian tidak akan tersesat selama berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah dan sunnahku.” (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’ kitab Al-Qadar III)

Sesungguh telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an betapa pentingnya peranan wanita, baik sebagai ibu, istri, saudara perempuan, mahupun sebagai anak. Demikian pula yang berkenaan dengan hak-hak dan kewajiban-kewajibannya. Adanya hal-hal tersebut juga telah dijelaskan dalam sunnah Rasul.

Peran wanita dikatakan penting karena banyak beban-beban berat yang harus dihadapinya, bahkan beban-beban yang semestinya dipikul oleh pria. Oleh karena itu, menjadi kewajiban bagi kita untuk berterima kasih kepada ibu, berbakti kepadanya, dan santun dalam bersikap kepadanya. Kedudukan ibu terhadap anak-anaknya lebih didahulukan daripada kedudukan ayah. Ini disebutkan dalam firman Allah,

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu. Hanya kepada-Ku lah kamu akan kembali.” (QS. Luqman: 14)

Begitu pula dalam firman-Nya, “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandung dan menyapihnya adalah tiga puluh bulan.” (QS. Al-Ahqaf: 15)

Dalam sebuah hadits disebutkan bahawa pernah ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling berhak bagi aku untuk berlaku bajik kepadanya?” Nabi menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia siapa?” Nabi menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia siapa?” Nabi menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Kemudian setelah dia siapa?” Nabi menjawab, “Ayahmu.” (HR. Bukhari, Kitab al-Adab no. 5971 juga Muslim, Kitab al-Birr wa ash-Shilah no. 2548)

Dari hadits di atas, hendaknya besarnya bakti kita kepada ibu tiga kali lipat bakti kita kepada ayah. Kemudian, kedudukan isteri dan pengaruhnya terhadap ketenangan jiwa seseorang (suami) telah dijelaskan dalam Al-Qur’an.


Tidak diragukan bahwa rumah yang penuh dengan rasa cinta, kasih dan sayang, serta pendidikan yang islami akan berpengaruh terhadap kehidupan seseorang. Dengan izin Allah seseorang yang hidup dalam lingkungan rumah seperti itu akan senantiasa mendapatkan taufik dari Allah dalam setiap urusannya, sukses dalam pekerjaan yang ditempuhnya, baik dalam menuntut ilmu, perdagangan, pertanian atau pekerjaan-pekerjaan lain.

Kepada Allah-lah aku memohon semoga Dia memberi taufik-Nya kepada kita semua sehingga dapat melakukan apa yang Dia cintai dan Dia redhai. Shalawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi kita Muhammad, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. (Majmu’ Fatawa Syaikh Ibnu Baz III/348)

Saturday, March 6, 2010

Photo Gallery & Kelestarian alam dalam menurut islam


Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang teristimewa berbanding dengan makhluk ciptaan lain. Sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab memakmurkan alam kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya melalui interaksi yang positif. Perhubungan manusia bukan hanya terbatas dengan Pencipta dan sesama manusia sahaja tetapi merangkumi perhubungan dengan alam. Oleh yang demikian, alam sekitar merupakan sebahagian daripada elemen-elemen yang penting yang perlu dipelihara oleh manusia sebagai satu khazanah yang amat berharga. Kemusnahan alam hijau anugerah Allah adalah disebabkan oleh kerakusan manusia mengekploitasi hasil alam melampaui batas. Implikasinya menyebabkan pelbagai fenomena alam berlaku antaranya, pemanasan global, tanah runtuh, banjir kilat dan pelbagai lagi yang mengganggu ketidaksabilan eko sistem. Justeru itu, pengurusan alam sekitar yang efektif dan konsisten sangat diperlukan bagi memastikan alam anugerah Allah tidak dimusnahkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Bahkan ia sangat bertepatan dengan falsafah syariat yang bersifat universal. Bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” Hadis riwayat Muslim.






Keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi oleh manusia antaranya adalah disebabkan perhubungan murni antara manusia dan alam. Boleh dikatakan hampir sebahagian besar fenomena alam yang berlaku berpunca dari tingkah laku manusia. Masalah ini telahpun dijelaskan oleh al-Quran, Allah S.W.T berfirman bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.” (Rum:41). Berdasarkan ayat tersebut jelaslah menunjukkan sikap manusia yang tidak menghormati, melakukan pencerobohan terhadap alam sekitar dengan cara berlebih-lebihan menyebabkan berlakunya kemusnahan alam. Oleh yang demikian, jelaslah Allah sebagai arkitek kepada penciptaan manusia lebih mengetahui sifat-sifat negatif yang ada dalam diri manusia dan memberi amaran kepada manusia melakukan pencerobohan tersebut agar kembali insaf dan bertaubat.


Realitinya di Malaysia, isu alam sekitar merupakan isu yang hangat diperbincangkan. Permasalahan alam sekitar seperti pengurusan sumber tanah sering mendapat perhatian masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bersyukur isu berkenaan alam sekitar sering menarik perhatian para pemimpin yang sentiasa peka dan perihatin terhadap isu global yang berlaku. Terkini kita dikejutkan dengan isu pencerobohan alam sekitar yang berlaku di kawasan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membuat tinjauan di kawasan tersebut menjelaskan bahawa pembangunan di sekeliling kawasan itu tidak terkawal dengan pokok ditebang sewenang-wenangnya dan bukit ditarah sesuka hati. Berikutan dengan masalah yang berlaku Perdana Menteri membuat empat keputusan drastik bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan kepada alam sekitar. Antaranya semua undang-undang dan peraturan berkaitan alam sekitar dikuatkuasakan sepenuhnya dengan serta-merta. Penguatkuasaan diketatkan dan pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang tersebut. Oleh yang demikian keperluan untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan alam sekitar perlu dilaksanakan. Ini kerana, peruntukan undang-undang yang digunapakai pada hari ini perlu relevan dengan realiti dan keperluan semasa masyarakat.










Perkembangan yang berlaku ini memberi implikasi yang positif terhadap pihak yang bertanggungjawab menguruskan alam sekitar. Komitmen yang bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh para pemimpin negara dalam menangani isu alam sekitar amatlah diharapkan dan sangat dihargai. Di samping itu, pembangunan insan dan pembangunan sains dan teknologi perlu berteraskan kepada norma-norma agama yang murni. Secara tidak langsung manusia akan lebih bertanggungjawab membangunkan alam secara terancang dan sistematik demi kebaikan dan kelangsungan generasi pada masa akan datang. Salah satu mekanisme untuk mengukuhkan pengurusan alam sekitar adalah melalui kerjasama dan penyelarasan yang bersepadu di antara sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan. Tidak dinafikan peranan individu juga penting sebagai entiti yang bertanggungjawab melindungi dan memelihara alam sekitar. Tanggungjawab untuk memelira alam sekitar bukan hanya terletak kepada pihak yang berwajib sahaja tetapi terletak kepada semua pihak.









Islam secara amnya sangat menitikberatkan berkenaan dengan permasalahan sekitar. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti manusia yang boleh mengancam dan memusnahkan kehidupan alam ini adalah dilarang sama sekali dan ia bertentangan dengan tuntutan syara`. Ia sama sekali bertentangan dengan sunnatullah. Sebagai contoh, aktiviti pemusnahan hutan yang tidak terkawal, membuang bahan-bahan toksid dalam sungai atau laut, pencemaran asap oleh kilang-kilang, dan sebagainya. Manusia perlu mengingati bahawa setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi adalah makhluk Allah. Sekiranya manusia melakukan pencebohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku tersebut sudah tentulah berlaku kontradiksi dengan prinsip Islam yang murni.

Tegasnya, pengurusan alam semulajadi yang sistematik perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan bersifat mesra alam. Bersesuaian dengan gagasan Perdana Menteri yang ingin melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai peradaban tinggi yang seimbang dari aspek pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Interaksi manusia dengan alam perlu dilihat dalam dimensi yang luas ia bersifat mesra alam. Sebagai hamba Allah kita perlu ingat bahawa setiap tingkah laku kita terhadap semua makhluk ciptaan Allah akan dinilai dan dihitung oleh Allah di hari akhirat kelak. (Abu Rushd)

Wednesday, May 6, 2009

DOA JODOH.... :-)

Ya Allah... Seandainya telah Engkau catatkan dia akan mejadi teman menapaki hidup Satukanlah hatinya dengan hatiku Titipkanlah kebahagiaan diantara kami Agar kemesraan itu abadi...

Dan ya Allah... ya Tuhanku yang Maha Pengasih Seiringkanlah kami melayari hidup ini Ke tepian yang sejahtera dan abadi Tetapi ya Allah... Seandainya telah Engkau takdirkan... Dia bukan milikku Bawalah ia jauh dari pandanganku Luputkanlah ia dari ingatanku Ambillah kebahagiaan ketika dia ada disisiku Dan peliharalah aku dari kekecewaan Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...

Berikanlah aku kekuatan Melontar bayangannya jauh ke dada langit Hilang bersama senja nan merah Agarku bisa berbahagia walaupun tanpa bersama dengannya Dan ya Allah yang tercinta... Gantikanlah yang telah hilang Tumbuhkanlah kembali yang telah patah Walaupun tidak sama dengan dirinya Ya Allah ya Tuhanku...

Pasrahkanlah aku dengan takdirMu Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan Adalah yang terbaik buatku Kerana Engkau Maha Mengetahui Segala yang terbaik buat hambaMu ini Ya Allah...

Cukuplah Engkau saja yang menjadi pemeliharaku Di dunia dan di akhirat Dengarlah rintihan dari hambaMu yang daif ini Jangan Engkau biarkan aku sendirian Di dunia ini maupun di akhirat Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman Supaya aku dan dia dapat membina kesejahteraan hidup Ke jalan yang Engkau redhai Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh...Amin...................

TERTAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT

Nabi S.A.W bersabda ‘Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati’
Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi. Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak ketawa yang melampaui batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.
Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu. Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah?. Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had.
Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh. “Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur”. Demikian ditegakkan oleh Nabi S.A.W. Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau ke neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia. Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turut menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi S.A.W pernah bersabda : Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak ketawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat”. Saidina Ali sentiasa mengeluh’…jauhnya perjalanan…sedikitnya bekalan…’
Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam. Dalam hadith lain, Nabi S.A.W bersabda “Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka.” Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam api neraka. Kita tidak pula dilarang manunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi S.A.W. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata “Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak.”

Tuesday, April 7, 2009

Tajdid Iman: 'Inilah jalan sunnah Nabiku'

SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata 'inilah jalan hidupku' apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, 'inilah jalan sunnah Nabiku' atau 'inilah jalan Nabi SAW' untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW.

Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya.

Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.

Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat. Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW.

Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW.

Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa." (Surah al-Taubah, ayat 65-66)

Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu.

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah.

Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki.

Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.

Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang. Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah.

Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu.

Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan.

Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang suka memberi nama 'wahabi' kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia.

Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis. Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah.

Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, "Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan."

Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW. Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil.

Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut.

Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW.

Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: "Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta'. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku."

Sa'id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: "Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?"

Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: "Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.

Thursday, March 26, 2009

Istiqamah laksana amanah bela rakyat sifat pejuang sejati

ISTIQAMAH antara sifat yang amat dititikberatkan Islam. Sifat ini yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Istiqamah adalah disiplin agama yang menganjurkan umatnya melakukan pekerjaan dan amalan berterusan.

Istiqamah adalah perkataan Arab bermakna terus diminta berdiri. Istiqamah dalam konteks ini merujuk kepatuhan, ketaatan dan ketekunan mengamal serta melaksanakan tugasan atas kepentingan agama serta ummah. Jelas, istiqamah sebagai disiplin adalah pelengkap penting dalam mencapai aspirasi yang dihasratkan.

Daripada Abi Amrah Sufyan Abdillah katanya: "Aku bertanya: Ya Rasulullah, ajar kepadaku mengenai Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakan aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah."


Namun keseluruhan makna yang dicadangkan mengenai istiqamah menjurus kepada terus menerus dalam kerja dan tugasan. Pemimpin yang beristiqamah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara berterusan dan tidak bermusim.

Rasulullah SAW pernah ditanya amal yang disukai Allah. Baginda menjawab: "Amal paling disukai Allah adalah amal dilakukan secara rutin walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam, malah rasul dan nabi ditegaskan Allah supaya terus beristiqamah dalam menjalankan tugas serta kewajipan kerasulan dan kenabian mereka. Firman Allah bermaksud: "Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan." (Surah Hud, ayat 112)

Allah mengingatkan Nabi Musa supaya terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan Firaun. Firman Allah yang bermaksud: "Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu." (Surah Yunus, ayat 89)

Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyaasah as-Syar'iyyah pernah menegaskan kepemimpinan adalah amanah. Justeru, untuk memilih pemimpin tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan secara bijaksana. Pemimpin yang berkesan sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah dan berterusan secara bersama bagi seorang pemimpin amat penting dan perlu diutamakan bagi memastikan gerak kerja tidak berciciran di tengah jalan. Pemimpin yang hilang daya, menjalankan tanggungjawab dan kegiatan secara bermusim ialah pemimpin yang tidak istiqamah. Apabila tiba masa memilih pemimpin, baru menunjukkan seolah-olah mereka bekerja.

Hakikatnya kedudukan pemimpin tidak ada bezanya dengan rakyatnya. Pemimpin tidak harus menganggap dirinya istimewa. Ia hanya orang yang didahulukan selangkah kerana mendapatkan kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Pemimpin yang baik memiliki sifat terbuka untuk dikritik. Mereka harus mendahului aspirasi rakyat dan terbuka menerima kritikan bersifat membina. Mereka tidak seharus menganggap kritikan sebagai alat pemusnah untuk menjatuhkannya oleh lawan.

Saidina Umar berkata: "Belajarlah sebelum kamu menjadi pemimpin". Maknanya, pemimpin perlu menimba pelbagai ilmu supaya sedia menghadapi kemungkinan yang datang. Pemimpin yang berterusan dengan amanah rakyat menjadi kunci kepada keyakinan serta kepercayaan orang bawahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam pemilihan kepemimpinan yang bersifat demokrasi, undi rakyat adalah kuasa penentu. Menggunakan wang untuk mendapat sokongan adalah mencabul hak demokrasi diamalkan.

Islam membenci pemimpin memberi wang (rasuah politik) dan mereka yang menerima wang). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua jasad yang tumbuh daripada penghasilan yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Pemimpin sejati sentiasa meletakkan dirinya berbakti untuk rakyat dan mengabdikan diri kepada Allah. Pemimpin perlu senantiasa memohon pertolongan Allah dan berbuat ihsan sesama manusia.

Umumnya al-Quran sudah memberi gambaran kriteria pemimpin yang harus dipilih, iaitu seperti ditegaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya sudah Kami tulis dalam Zabur sesudah (sesudah Kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-Ku yang salih." (Surah al-Anbiya', ayat 105)

Meletakkan pertimbangan iman dan akal dituntut ketika membuat pemilihan menentukan barisan kepemimpinan. Sikap untuk cuba sewajarnya mesti dikikis ketika membuat pemilihan. Renunglah masa depan ummah dan generasi akan datang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Tiga perkara jadikan hidup sempurna

SEBAGAI manusia sering diuji dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seperti sakit, kesusahan hidup dan kematian, ketabahan manusia menghadapi ujian Allah banyak bergantung kepada keimanan seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, "Kamu sekalian Kami uji dengan keadaan serba ketakutan, lapar dan serba kekurangan, baik mengenai harta, jiwa, mahupun mengenai hasil tanaman, dan buah-buahan, gembiralah orang yang sabar, tidak ditimpa sesuatu musibah, mereka (berserah diri kepada Allah) dengan mengucapkan: kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali." (Al-Baqarah: 156).

Ayat ini jelas menunjukkan kehidupan manusia itu sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian ini bertujuan melihat kesabaran pada hamba-Nya.

Firman Allah bermaksud, "Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sesungguhnya takwa." (Surah Ali Imran:102).

Selanjutnya Allah berfirman bermaksud, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar (dari segala kesukaran) dan diberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka." (Riwayat Surah Ath Thalaq:2-3).

Setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.

Kehidupan jangan tersasar dan mesti mengikut Rasulullah SAW dalam segala bidang. Baik yang berhubung dengan Allah mahupun berhubungan dengan sesama manusia. Hal ini sesuai dengan firman Allah bermaksud, "Tidak ada manusia yang paling mulia di sisi Allah melainkan yang benar-benar takwa kepada Allah." (Al-Hujarat:13)

Dalam hal kesabaran Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya bermaksud, "Sabar yang sebenarnya pada saat bermula tertimpa musibah." (Riwayat Al Bukhari).

Sementara Hukamak pernah berkata, "Apabila seseorang itu reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, maka dia akan menjadi orang terkaya di dunia." Oleh itu, reda dan sabar adalah kekuatan yang ada dalam diri seseorang dalam menghadapi ujian dan musibah.

Seterusnya, Nabi SAW bersabda bermaksud, "Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan kepada seorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar."
(Riwayat Al-Hakim).

Ada pepatah mengatakan kesempurnaan hidup terletak pada tiga perkara, iaitu pandai menahan hati dalam menjunjung agama, sabar ketika ditimpa musibah dan pandai mengatur belanja.

Sementara itu, ahli Tasauf Hassan Basri menyatakan, "Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu. Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama. Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya."

Sifat sabar sangat penting dalam kehidupan. Kata-kata ini boleh dijadikan renungan "Sabar terhadap teman yang menyakitkan lebih baik daripada mencacinya. Mencaci adalah lebih daripada memutuskan silaturahim dan memutuskan silaturahim adalah lebih baik daripada berkelahi".

Dalam kehidupan tidak ada seorang pun yang terlepas daripada kesedihan dan tidak seorang manusia pun yang terhindar daripada kesusahan. Oleh itu, bersabar menghadapi musibah.

Dr Aidh Abdullah Al-Qarni mengatakan, "Setiap musibah yang menimpa dirimu misalnya kesedihan, kesusahan, kelaparan, kemiskinan, penyakit, hutang dan musibah lain, Allah akan memberi pahalanya kepada anda jika anda bersabar."

Percayalah dunia ini adalah tempat ujian dan cubaan. Semuanya ini adalah ke arah mencari reda Allah. Oleh itu, kita digalakkan meminta pertolongan hanya kepada Allah.

Sebagai ibu bapa, seseorang itu mesti bersabar menghadapi kerenah anak yang sedang membesar. Semua kebahagiaan terletak pada kesabaran ibu bapa yang menentukan sama ada bahagia atau sebaliknya dalam rumah tangga.

Dalam kehidupan, kita tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Sesungguhnya, sifat sabar dapat memaafkan kesalahan orang lain dan juga tabah menjadikan hati tenang, fikiran dan perasaan sanggup menahan penderitaan dihadapi dalam kehidupan penuh pancaroba.