Friday, February 20, 2009

Membaca al-Quran tanda ucap terima kasih, syukur




Assalamualaikum warahamatullah hiwabarakatuh...

Di sini kite ada maklumat ilmu berkongsi dengan anda sekalian bahawa kelebihan al-Quran turut dibincangkan salah seorang sahabat bernama Abu Musa al-Asyari. Beliau memetik kata-kata mulia Nabi Muhammad SAW yang membandingkan orang yang suka membaca al-Quran dan menghayatinya. Mereka terdiri daripada golongan berikut:


  • Orang Islam yang membaca al-Quran umpama citrus (sejenis limau). Baunya harum dan rasanya lazat. Ini menunjukkan, orang Islam yang benar-benar mentaati perintah Tuhan melaksanakan segala yang diperintahkan termasuk membaca al-Quran setiap hari. Mereka yakin, jalan itu adalah jalan mudah bagi berkomunikasi dengan Tuhan yang menciptakan.Itu juga antara cara mengucapkan terima kasih bagi segala kurniaan Tuhan yang tiada batas. Tanpa meminta, Nabi Muhammad SAW menjelaskan mulianya kedudukan golongan ini sehingga diiktiraf dengan rasa lazat dan bauan harum dan menyenangkan. Dengan janji seperti ini, orang Islam lebih giat mendekati al-Quran kerana memperoleh pelbagai kesenangan. Paling utama, hati menjadi tenang dan hidup menjadi lebih bahagia. Semuanya berkat membasahkan bibir dengan ayat al-Quran.
  • Orang Islam, tetapi tidak membaca al-Quran seperti buah kurma. Ia tidak berbau, tetapi rasanya sedap dan manis. Ramai manusia yang tergolong dalam golongan ini kerana akhir zaman ini terlalu ramai manusia yang mengaku beragama Islam tetapi mencalit arang kepada kesucian Islam itu sendiri. Ini menjadi bahan senda dan gurauan rakan bukan Islam.Masakan tidak, mengaku Islam tetapi perbuatannya langsung tidak menunjukkan budaya dan cara hidup Islam. Tuhan sangat membenci golongan seperti ini. Semua orang sedia maklum, mana mungkin agama suci mengajarkan amalan buruk kepada penganutnya.Usahlah kita jadi manusia yang hanya memakai pakaian berjenama tetapi tidak menunjukkan kualiti. Apa gunanya menjadi manusia cantik luarannya tetapi busuk hatinya. Apa gunanya kita memakan buah yang cantik dan kelihatan menyelerakan di luarnya tetapi pahit dan busuk apabila dimakan. Fikirkanlah.
  • Orang yang mempersendakan agama Islam dikenali dengan gelaran munafik iaitu suka berpura-pura dalam kehidupan beragama. Walaupun mereka membaca al-Quran, mereka diibaratkan buah raihanah. Baunya sedap, tetapi rasanya pahit. Sebenarnya, golongan ini adalah tali barut yang layak ditempatkan dalam neraka jahanam. Bukan dalam agama Islam saja, malah dalam pentadbiran negara, apabila ada golongan tali barut, pasti akhirnya menjatuhkan kerajaan itu.Ia ibarat 'gunting dalam lipatan' yang dapat membunuh bila-bila masa saja. Golongan ini juga seperti 'musuh dalam selimut' yang dapat menyerang tidak kira masa. Mohonlah perlindungan Tuhan supaya tidak terbabit dengan manusia seperti ini.
  • Golongan munafik yang tidak membaca al-Quran diumpamakan seperti petola yang tidak mempunyai bau dan rasanya pahit.
  • Golongan munafik membawa Islam dengan imej memalukan sehingga timbul pelbagai fitnah yang memburukkan agama Islam. Bagi mengetahui baik ataupun tidak orang itu, tidak cukup sekadar melihat luaran saja.
  • Kita perlu mengenalinya dengan lebih dekat supaya lahir rasa cinta seterusnya barulah ada kesudian untuk melamarnya. Mana mungkin kita berpuas hati membeli barang impian hanya dengan melihat di dalam katalog saja. Pastinya kepuasan memilih dan memiliki apabila kita dapat menyentuh dan membelai barang itu di depan mata. (Buku Apa itu al-Quran)

Thursday, February 19, 2009

Berpantang, berjaga-jaga dalam pemakanan ibu segala ubat

Assalamualaikum WMH..

AJARAN Islam menitikberatkan persoalan makanan halal lagi bersih. Halal sumber dan bersih serta zat sesuatu makanan itu memberi kesan mendalam kepada umat Islam terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal.

Antara kesan yang paling ketara ialah kejernihan akal fikiran yang mampu mengungkap dan menyelesaikan permasalahan umat serta dunia.

Otak mempunyai kekuatan menakjubkan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus daripada keseluruhan keupayaan otak sebenar. Malah, penyelidikan mereka mendapati kita menggunakan kurang daripada satu peratus kemampuan otak sebenar.

Hasilnya, jiwa menjadi lemah dan pesimis, akal menjadi lemah dan kuasa fikiran menurun serta gangguan emosi. Walau bagaimanapun keadaan ini berbeza kepada bangsa Yahudi. Mereka memiliki tahap kepintaran melebihi umat Islam.

Sejak dulu bangsa Yahudi mendepani dan menguasai pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, seni dan yang paling ketara bidang perniagaan. Hampir 70 peratus perniagaan di dunia dikuasai mereka daripada kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata dan perhotelan.

Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimanakah bangsa Yahudi boleh mencapai tahap kepintaran sebegitu? Menurut kajian sarjana Barat, bangsa Yahudi sudah mendidik anak mereka sejak dari dalam perut sehingga ke peringkat universiti.

Apa yang menarik ialah kesungguhan mereka menjaga pemakanan ke arah meningkatkan daya fikir yang tajam. Walau bagaimanapun, Islam sudah lebih dulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.

Allah menganugerahkan kita pelbagai sumber makanan berkhasiat dan berzat. Ada makanan memberi kesan cepat terhadap kecergasan otak dan ada makanan yang lambat atau tidak memberi sebarang kesan sedikit pun.

Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal lagi bersih seimbang, berzat dan berjadual.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Makanlah daripada rezeki yang baik yang sudah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya." - (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Menerusi ayat ini Allah memerintahkan kita memakan makanan yang baik. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur'an al-A'zim, makanan baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.

Pakar pemakanan sudah mengenal pasti bahawa bagi membantu akal sihat, kita hendaklah memakan makanan mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral, dan vitamin seperti A, B, C, D, E dan K.

Makan dan minuman adalah antara ibadah penting dalam Islam kerana ia dapat membina akhlak terpuji dan membangunkan akal insan salih. Dalam hal ini, Allah memberi panduan pemakanan kepada umat Islam berlandaskan konsep 'memberi kemudahan, menjaga nyawa, jaminan kesihatan tubuh badan dan akal'.

Pengambilan makanan yang tidak diberkati dan tidak berzat mendatangkan kesan buruk pada akal serta mudah terbabit dalam gejala sosial seperti amalan rasuah, pecah amanah, perjudian, penipuan, pengkhianatan serta aktiviti negatif lain.

Pemakanan daripada sumber rezeki yang halal, baik dan berzat adalah lebih disukai serta dirahmati Allah. Ini kerana hati kita menjadi bersih dan akal menjadi bijak serta memudahkan pekerjaan. Sebagai bukti kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat makanan, maka kita wajib memilih makanan yang disarankan dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Jika ia (makan) memadai dengan suapan kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Jika dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya." (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Nasai'e, dan Ibn Majah)

Jika umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab makan yang diajarkan Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan itu adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga air, dan sepertiga lagi untuk bernafas.

Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab ini, akan menyukarkan bernafas, lemah daya fikir dan mendatangkan mudarat pada diri. Menurut pandangan pakar perubatan Arab, Harith bin Kalwah, berpantang dan berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, banyak makan itu ibu segala penyakit.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang mukmin makan dengan satu perut manakala orang kafir dengan tujuh perut." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dinyatakan Rasulullah SAW itu adalah menuntut kita bersederhana serta menjauhkan diri daripada penyakit zahir dan batin seperti sifat tamak dan mementingkan diri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." - (Surah al-A'raf, ayat 31)

Tuesday, February 17, 2009

Iqra: Panduan sempurna bina sahsiah anak




ANAK adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kerana ia penyambung zuriat generasi sekarang dan akan datang. Institusi kekeluargaan tampak lebih lengkap dengan kehadiran anak.

Ibu bapa pula mempunyai tanggungjawab besar untuk membesar dan mendidik anak menjadi insan sempurna di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak paling mulia dan terpuji. Secara umumnya, semua ibu bapa tidak kira apa juga agama dan keturunan mengimpikan anak berakhlak baik.

Anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertindak mencorakkan masa depannya. Sejak kebelakangan ini masyarakat di seluruh dunia termasuk umat Islam berhadapan pelbagai cabaran terutama agenda Barat yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.

Malah, pendidikan yang berunsurkan sunnah adalah kaedah paling sempurna kepada anak yang boleh dilakukan sejak dalam kandungan ibu dan disusuli dengan setiap peringkat usianya.

Sepanjang perjalanan anak itu mereka perlu dididik dalam pelbagai aspek. Persekitaran dan gaya hidup ibu bapa sendiri juga boleh mempengaruhi kelakuan anak. Jika mahu melahirkan anak yang bercirikan keislaman, ibu sendiri perlulah mengamalkan kehidupan Islam.

Pendidikan secara Sunnah itu meliputi pemakanan, cara berpakaian, kebersihan, sopan santun, hormat menghormati sesama insan khususnya ibu bapa sendiri dan sentiasa mentaati suruhan Allah seperti bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan meninggalkan segala kemungkaran dalam apa juga bentuk. Ini adalah asas penting yang mampu membina disiplin, akhlak dan moral yang terpuji.

Ibu bapa juga seharusnya menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendidik seperti memperdengarkan cerita atau kisah menarik daripada tokoh unggul dalam Islam. Kerap mendedahkan mengenai keperibadian dan kehidupan Rasulullah SAW selain menjelaskan siapakah Baginda supaya bercambah dalam segenap aura bagi menyemarakkan Sunnah. Keberanian dan semangat yang ada dalam banyak kisah nabi, sahabat-Nya serta orang yang salih itu penting sebagai pendidikan, pembinaan akhlak dan menanam perasaan mencintai Islam serta membuka mata dan hati untuk mencontohi sifat mereka.

Dengan semua penerapan nilai Islam dan Sunnah sudah pasti mampu membina generasi yang soleh. Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak salih.

Monday, February 16, 2009

Buang bayi luar nikah bukan penyelesai masalah

Iman, akhlak perlu ditekankan dalam pendidikan agar gejala sosial diatasi secara tuntas

MUTAKHIR ini, kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui mati. Bayi tidak berdosa itu dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat kemanusiaan.

Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan insan yang tidak bertanggungjawab antaranya mungkin hasil hubungan luar nikah. Al-Quran dan Sunnah sering memperingatkan nilai hidup setiap makhluk. Kita dilarang mencabut nyawa janin termasuk haiwan kecuali atas ketentuan dibenarkan Allah. Tanpa rasa belas kasihan ibu atau pasangan terbabit sanggup membuang bayi yang dikandung.


Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan ketika bertindak. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan hasil hubungan haram dapat dirasai secara berulang kali.

Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa."

Anak anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan harus lahir daripada ikatan perkahwinan kerana secara fitrah manusia berhajat kepada kurniaan itu.

Justeru, manusia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Realitinya isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman jahiliah apabila membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga.

Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anak, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (riwayat Bukhari).

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji untuk menutup malu selepas melakukan zina.

Pasangan yang dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran sehingga melahirkan bayi di luar nikah. Kegawatan sosial adalah permasalahan bersama dan memerlukan penyelesaian bersepadu, kolektif dan terancang. Strategi menanganinya memerlukan pendekatan proaktif termasuk pendekatan aspek keagamaan adalah tunjang kerohanian bagi individu Kefahaman yang tinggi dalam pegangan agama dan nilai kerohanian adalah asas pembentukan sahsiah manusia.

Agama memainkan peranan penting untuk memandu ke arah tingkah laku sesuai dengan pertimbangan dan rasional rutin hidup seharian. Pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan dua faktor yang saling berhubung iaitu qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.

Justeru, setiap anak memerlukan contoh teladan, mentor dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya.

Ibu bapa adalah model terawal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah terbaik. Mereka harus bijak mengawasi persekitaran kekeluargaan dan agar lahirnya situasi yang sihat dan cemerlang ke arah membentuk keluarga harmoni.

Seluruh lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan, khususnya dalam memastikan anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama membabitkan kes pembuangan bayi harus diberi perhatian serius. Tindakan segera perlu diambil supaya terus merebak menjadi penyakit sosial sukar diubati.

Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.

Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Jika terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap. Sepatutnya sebagai warga yang hidup di dalam negara berdaulat dan pada era pasca-merdeka amat tidak wajar sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini.


Fokus: Peluang kerjaya

Graduan masih boleh dapat kerja walaupun keadaan ekonomi gawat jika tidak memilih

ANTARA implikasi kelembapan ekonomi ketika ini adalah peningkatan kadar pengangguran termasuk di kalangan graduan kerana persaingan mendapatkan pekerjaan semakin sengit.

Tidak dinafikan, iklim ekonomi itu memberi kesan terhadap lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan terutama apabila sektor swasta mula mengambil langkah mengurangkan kos termasuk membuang pekerja.

Tidak mustahil graduan boleh mendapat pekerjaan walau dalam keadaan ekonomi gawat, asalkan mereka tidak memilih, selain kreatif dan berani mengambil risiko mencipta kerjaya berbanding sekadar mengharap peluang pekerjaan disediakan pihak kerajaan dan swasta.

analisis kajian itu menunjukkan peratusan pelajar yang mendapat pekerjaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas tamat pengajian meningkat daripada 44.5 peratus pada 2006 kepada 53.4 peratus (2007) dan 52.7 peratus (2008).

Majoriti responden katanya, memperoleh pendapatan bulanan antara RM501 hingga RM1,000 dan bidang pekerjaan utama diceburi termasuk pekerja perkeranian, perkhidmatan dan jualan, kraftangan dan perdagangan berkaitan serta operator kilang dan mesin. sebagai contoh pada 2006, jumlah responden yang memperoleh pendapatan bulanan antara RM501 hingga RM1,000 mencatat peratusan tertinggi iaitu 23.8 peratus dikuti RM1,001 hingga RM1,500 (22.2 peratus) dan RM1,501 hingga RM2,000 (22.1 peratus).

Walaupun bidang Profesional mencatat peratusan tertinggi diceburi graduan, hasil kajian turut menunjukkan lepasan IPT memulakan kerjaya dalam bidang seperti perkeranian dan jualan.Malah, ada juga graduan jurusan Profesional seperti perubatan menceburi bidang yang tiada kaitan langsung dengan kelayakannya seperti perniagaan.Sikap tidak memilih kerja graduan ini perlu dicontohi kerana selain memperoleh pendapatan serta menambah pengalaman dan pengetahuan, langkah bijak mereka itu membantu mengurangkan kadar pengangguran.

alasan diberikan majoriti graduan yang belum bekerja turut memberi petunjuk bahawa masih ada sikap memilih pekerjaan di kalangan graduan. contoh pada tahun lalu, sebanyak 42.4 peratus (14,222 responden) dan 1.72 peratus (578 responden) belum bekerja masing-masing memberi alasan sedang mencari pekerjaan serta kerja ditawarkan tidak sesuai. umlah graduan belum bekerja pada 2006 adalah 30.7 peratus, menurun kepada 26.5 peratus (2007), dan 24 peratus pada tahun lalu. Majoriti alasan diberikan graduan tidak bekerja dalam kajian tahun ini adalah sedang mencari pekerjaan serta kerja ditawarkan tidak sesuai.

Alasan lain termasuk tanggungjawab terhadap keluarga, kurang keyakinan memasuki pasaran pekerjaan, memilih untuk tidak bekerja, tidak berminat untuk bekerja, ingin berehat, masalah kesihatan dan menunggu penempatan untuk melanjutkan pengajian.memulakan kerjaya dengan pekerjaan sambilan tidak akan merendahkan tahap keilmuan graduan yang berwawasan tinggi malah berupaya membekalkan mereka kemahiran insaniah termasuk kepemimpinan dan pengurusan.

Bagi graduan yang berani mengambil risiko, katanya, skim keusahawanan yang ditawarkan kerajaan khusus untuk graduan adalah peluang terbaik dimanfaatkan bagi membangunkan kerjaya sebagai usahawan. Graduan yang mempunyai jati diri tinggi tidak akan berasa malu untuk bermula sebagai jurujual atau pelayan di restoran makanan segera kerana menyedari pekerjaan itu memberi peluang mereka membangunkan kemahiran dan pengetahuan terutama dalam pengurusan perniagaan.

Pengalaman seumpama itu akan dapat dimanfaatkan untuk membina empayar perniagaan sendiri dengan memanfaatkan skim keusahawanan yang ditawarkan kerajaan ketika ini. Graduan tidak perlu berasa malu memulakan perniagaan kecil seperti membuat kuih kerana jika ia dilaksanakan dengan perancangan strategik dan wawasan tinggi, tidak mustahil membolehkan graduan menjadi pengeluar utama hingga menembusi pasaran luar negara.

Islam benci sikap meminta-minta

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan ) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta-minta (tidak menjadi pengemis ) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga serta masyarakat.

Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.


Kita perlu ingat hanya rezeki yang halal saja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah kerana rezeki yang diambil daripada punca haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan saja di dunia malah di akhirat juga.

Allah mewujudkan sifat semula jadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah yang bermaksud: "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 26)

Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang memerlukannya kerana kesenangan diberi oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

Oleh itu demi mencari keredaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan.


Berusaha, bersyukur perlu seiring

Tuhan tidak pernah memutuskan rezeki kepada hamba rajin

REZEKI Allah ada di mana-mana di atas muka bumi ini asal kita rajin berusaha mencarinya. Pepatah yang mengatakan 'rezeki secupak tak akan jadi segantang' sudah tidak dapat dipegang lagi kebenarannya di zaman sekarang.

Jika kita bersungguh-sungguh berusaha mencarinya, dengan melakukan kerja yang boleh mendatangkan hasil atau upah, nescaya kita akan mendapat pendapatan lumayan. Dan tidak mustahil dari masa ke semasa hasil pendapatan itu akan bertambah dengan syarat rajin berusaha.

Rezeki adalah nikmat Allah untuk hamba-Nya. Bagi umat Islam, kunci mendapatkan rezeki ialah dengan selalu bersyukur kepada Allah, sama ada melalui ucapan mahu pun perbuatan. Kedua-duanya harus berjalan beriringan tanpa henti. Bersyukur adalah sifat orang bertakwa.

Nikmat Allah terlalu banyak dan tidak terhitung. Bersyukur atas nikmat rezeki yang Allah berikan menunjukkan kita ingat kepada-Nya. Sesiapa yang ingat akan Allah apabila diberi nikmat, nescaya Allah akan ingat dia dengan menambahkan lagi rezeki kepadanya.

Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sementara Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: "Dunia ini ibarat makhluk yang dilaknat kecuali yang ada di dalamnya sentiasa ingat kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Apabila kita ingat Allah kita akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadah dan sekali gus menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang-Nya. Mencari rezeki halal untuk menyara keluarga juga adalah ibadah cukup mulia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada yang lebih baik bagi orang yang memakan makanan, melebihi kebaikan orang yang makan makanan daripada hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud makan daripada hasil kerja tangannya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Suasana kehidupan yang serba canggih, mudah dan pantas seperti hari ini, kita sentiasa terdedah dengan perkara yang boleh membuatkan kita mendapat rezeki secara tidak sah (haram) atau menyalahi undang-undang.

Banyak umat Islam terjebak dan tewas dalam hal ini. Semua berpunca kerana nipisnya iman dan takwa yang berfungsi membentuk hala tuju rezeki bagaimana ingin dicari, sama ada secara bekerja kuat (rezeki halal) atau dapatkannya secara cepat dan mudah (haram). Semuanya itu adalah sebahagian ujian Allah kepada hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Ada pun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Ada pun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku menghinaku." (Surah al-Fajr, ayat 15-16)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

Setelah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal, selebihnya umat Islam hendaklah bertawakal kepada Allah kerana rezeki berada dalam kekuasaan-Nya. Allah yang menentukan rezeki seseorang itu.

Ibnu Qayyim mengatakan tawakal adalah setengah keimanan. Sementara setengah keimanan yang lain adalah inabah (perwakilan). Sesungguhnya agama adalah pertolongan dan ibadah, tawakal adalah pertolongan, dan inabah adalah ibadah.

Sementara bagi Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pula berpendapat bahawa suatu asas pokok yang sama berada pada setiap amal pekerjaan mahu pun ibadah, iaitu tawakal kepada Allah, pembenaran untuk mendapatkan perlindungan-Nya, dan ketergantungan hati kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "...Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Surah al-Maidah, ayat 23)

Selain itu, di kalangan ulama berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan rezeki sentiasa bertambah adalah berdoa. Berdoa dan berusaha. Berdoa semata-mata tanpa ada usaha tidak memberi makna. Rasulullah SAW juga berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada fakir (miskin) dan kekurangan rezeki.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keadaan fakir, kekurangan harta dan keadaan hina. Dan kepada-Mu pula aku berlindung supaya aku tak diperkenankan berbuat zalim, dan berlindung daripada orang yang hendak menzalimiku." (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Sesungguhnya Allah tidak pernah memutuskan rezeki-Nya kepada hamba-Nya yang berusaha dan bekerja kuat mencarinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan menambah rezeki hamba-Nya yang diberi rezeki tidak lupa mengucapkan syukur kepada-Nya dan membelanjakan rezeki itu ke jalan bermanfaat.

Mereka yang diberi-Nya rezeki berlebihan hendaklah membelanjakannya di jalan Allah seperti bersedekah untuk membina surau atau masjid, membantu sekolah agama yang daif atau membantu rumah anak yatim.

Firman Allah yang bermaksud: "...Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba, ayat 39)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari di waktu pagi bagi seorang hamba kecuali kedua malaikat akan turun kepadanya, kemudian salah satu malaikat itu berkata, Ya Allah, kurniakan orang yang gemar bersedekah dengan balasan kebaikan yang setimpal. Sementara malaikat yang lain berkata, Ya Allah, berikan orang yang gemar menahan hartanya (kikir) dengan kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)