Monday, February 16, 2009

Berusaha, bersyukur perlu seiring

Tuhan tidak pernah memutuskan rezeki kepada hamba rajin

REZEKI Allah ada di mana-mana di atas muka bumi ini asal kita rajin berusaha mencarinya. Pepatah yang mengatakan 'rezeki secupak tak akan jadi segantang' sudah tidak dapat dipegang lagi kebenarannya di zaman sekarang.

Jika kita bersungguh-sungguh berusaha mencarinya, dengan melakukan kerja yang boleh mendatangkan hasil atau upah, nescaya kita akan mendapat pendapatan lumayan. Dan tidak mustahil dari masa ke semasa hasil pendapatan itu akan bertambah dengan syarat rajin berusaha.

Rezeki adalah nikmat Allah untuk hamba-Nya. Bagi umat Islam, kunci mendapatkan rezeki ialah dengan selalu bersyukur kepada Allah, sama ada melalui ucapan mahu pun perbuatan. Kedua-duanya harus berjalan beriringan tanpa henti. Bersyukur adalah sifat orang bertakwa.

Nikmat Allah terlalu banyak dan tidak terhitung. Bersyukur atas nikmat rezeki yang Allah berikan menunjukkan kita ingat kepada-Nya. Sesiapa yang ingat akan Allah apabila diberi nikmat, nescaya Allah akan ingat dia dengan menambahkan lagi rezeki kepadanya.

Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sementara Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: "Dunia ini ibarat makhluk yang dilaknat kecuali yang ada di dalamnya sentiasa ingat kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Apabila kita ingat Allah kita akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadah dan sekali gus menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang-Nya. Mencari rezeki halal untuk menyara keluarga juga adalah ibadah cukup mulia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada yang lebih baik bagi orang yang memakan makanan, melebihi kebaikan orang yang makan makanan daripada hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud makan daripada hasil kerja tangannya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Suasana kehidupan yang serba canggih, mudah dan pantas seperti hari ini, kita sentiasa terdedah dengan perkara yang boleh membuatkan kita mendapat rezeki secara tidak sah (haram) atau menyalahi undang-undang.

Banyak umat Islam terjebak dan tewas dalam hal ini. Semua berpunca kerana nipisnya iman dan takwa yang berfungsi membentuk hala tuju rezeki bagaimana ingin dicari, sama ada secara bekerja kuat (rezeki halal) atau dapatkannya secara cepat dan mudah (haram). Semuanya itu adalah sebahagian ujian Allah kepada hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Ada pun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Ada pun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku menghinaku." (Surah al-Fajr, ayat 15-16)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

Setelah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal, selebihnya umat Islam hendaklah bertawakal kepada Allah kerana rezeki berada dalam kekuasaan-Nya. Allah yang menentukan rezeki seseorang itu.

Ibnu Qayyim mengatakan tawakal adalah setengah keimanan. Sementara setengah keimanan yang lain adalah inabah (perwakilan). Sesungguhnya agama adalah pertolongan dan ibadah, tawakal adalah pertolongan, dan inabah adalah ibadah.

Sementara bagi Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pula berpendapat bahawa suatu asas pokok yang sama berada pada setiap amal pekerjaan mahu pun ibadah, iaitu tawakal kepada Allah, pembenaran untuk mendapatkan perlindungan-Nya, dan ketergantungan hati kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "...Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Surah al-Maidah, ayat 23)

Selain itu, di kalangan ulama berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan rezeki sentiasa bertambah adalah berdoa. Berdoa dan berusaha. Berdoa semata-mata tanpa ada usaha tidak memberi makna. Rasulullah SAW juga berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada fakir (miskin) dan kekurangan rezeki.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keadaan fakir, kekurangan harta dan keadaan hina. Dan kepada-Mu pula aku berlindung supaya aku tak diperkenankan berbuat zalim, dan berlindung daripada orang yang hendak menzalimiku." (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Sesungguhnya Allah tidak pernah memutuskan rezeki-Nya kepada hamba-Nya yang berusaha dan bekerja kuat mencarinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan menambah rezeki hamba-Nya yang diberi rezeki tidak lupa mengucapkan syukur kepada-Nya dan membelanjakan rezeki itu ke jalan bermanfaat.

Mereka yang diberi-Nya rezeki berlebihan hendaklah membelanjakannya di jalan Allah seperti bersedekah untuk membina surau atau masjid, membantu sekolah agama yang daif atau membantu rumah anak yatim.

Firman Allah yang bermaksud: "...Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba, ayat 39)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari di waktu pagi bagi seorang hamba kecuali kedua malaikat akan turun kepadanya, kemudian salah satu malaikat itu berkata, Ya Allah, kurniakan orang yang gemar bersedekah dengan balasan kebaikan yang setimpal. Sementara malaikat yang lain berkata, Ya Allah, berikan orang yang gemar menahan hartanya (kikir) dengan kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Friday, February 13, 2009

UNTUK RENUNGAN BERSAMA ….

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi... jeng!jeng!jeng! .. bunyi.... aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja.

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. .. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib.. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut.
Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni... habislah jadi mangsa buaya
.
Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah bawa madu.
Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata.
Hamba Allah tu kata, 'Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni.' kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah


Kalau semua nak tahu ...
si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor
buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti.
Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.
Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu.
Madu... madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu.. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah. Astaghfirullah. ..


1 minit untuk mengingati Allah

Step 1:
Sebutlah dengan sepenuh hati dan lidah yang fasih akan:
*SUBHANA'LLAH
*ALHAMDULI'LLAH
*LA I LAHA ILLA'LLAH
*ALLAHU AKBAR
*ASTAGHFIRU' LLAH
*LA ILAH ILLA'LLAH, MUHAMMADUN RASULU'LLAH
*ALLAHUMMA SALLY WA SALLEM WABAREK ALA SAYYEDINA MUHAMMAD *WA AALIHE WA SAHBIH AJMA'EEN

Step 2:
Hayatilah sedalamnya akan makna ayat demi ayat, perkataan demi perkataan

Step 3:
Forward email ini kepada sekurang-kurangnya 7 orang sahabat anda.

Result 1:
Dalam tempoh satu jam anda telah berjasa mengajak mereka untuk mengingati, berdoa dan bermunajat kepada ALLAH Yang Maha Esa.

Result 2:
Dalam tempoh satu jam anda telah berjasa mengajak mereka untuk mengingati, berdoa kepada Nabi Muhammad Alaihisallam.

Result 3:
Dalam masa satu jam sekurang-kurangnya 7 orang telah mendoakan kesejahteraan untuk kamu dan diAMIN oleh para Malaikat INSHA'A'LLAH Oleh itu... duduklah sambil merenungi betapa kekuasaan Allah dalam kehidupan kita seharian kerana melakukan segala yang di redhoiNya Bersamalah kita berdoa agar sentiasa di nikmat kesejahteraan dan kelapangan akal dan fikiran dalam kita menjalani kehidupan seharian dalam apa jua yang kita.

Tuesday, February 10, 2009

Demonstrasi jalanan rosakkan nilai kemanusiaan

Umat Islam harus belajar makna kebebasan dalam menyampaikan aspirasi masyarakat

AKHIR-AKHIR ini, dilihat kebebasan berdemokrasi dan berakhir dengan tindakan anarkis (melampau) atau berdemonstrasi jalanan.

Suatu situasi cukup memilukan. Tragedi untuk sebuah nilai kemerdekaan di sebalik kebebasan demokrasi.

Mereka menyuarakan idea, konsep, pemikiran, aksi dan tindakan yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat dan negara.

Kes ini harus dicegah atas nama hukum yang berlaku di sebuah negara supaya tidak merebak dan membahayakan masyarakat dalam sesebuah negara itu.

Ekstrem adalah tindakan yang berlawanan dengan nilai kemanusiaan universal yang pasti ditentang oleh semua orang yang berfikiran waras.

Ironisnya, tingkah laku anarkis sering kali dilakukan dengan berdemonstrasi di kalangan terdidik yang bersembunyi di belakang kebebasan demokrasi.

Pelik, seolah-olah demonstrasi dan kekerasan sudah menjadi gelanggang utama dan amalan negara di dunia termasuk di negara kita. Ini menunjukkan kecerdasan mereka yang melakukan demonstrasi masih rendah atau berfikiran cetek.

Kita lebih mementingkan jalan kekerasan daripada membangun dialog dan mencari titik pertemuan dari pelbagai persoalan yang dihadapi secara muafakat atau berbincang untuk mencari titik penyelesaian untuk faedah semua pihak tanpa menimbulkan ketegangan masyarakat.

Kekerasan seperti menjadi budaya rakyat kita yang dikenali sebagai bangsa penyantun, ramah-tamah dan suka kedamaian.

Tindakan ini mengakibatkan kerugian yang bukan sedikit terhadap situasi bangsa kita secara fizikal dan mental kerana mereka yang melakukan demonstrasi kerap kali merosakkan harta awam serta kenderaan yang digunakan oleh pihak keselamatan yang menjaga keamanan negara.

Inikah yang dinamakan kebebasan demokrasi? Kenapa menyuarakan suara hati dengan melakukan tindakan memaksa, ancaman, ugutan melalui demonstrasi jalanan dan tindakan jenayah?

Apakah kebebasan berdemonstrasi hanya dilakukan dengan kepentingan segelintir orang yang haus dengan kekuasaan.

Kita harus banyak belajar mengenai erti kebebasan yang sebenarnya khususnya dalam menyampaikan aspirasi masyarakat.

Kebebasan secara umum bererti terlepas daripada ikatan sehingga dapat bergerak sesuka hati.

Tetapi mengertikah bebas seperti itu adalah berkaitan dengan manusia yang dikuasai hawa nafsu. Hal itu boleh mengorbankan hak dan kebebasan orang lain.

Oleh itu, kebebasan itu harus dibatasi dengan hal yang dapat diatur penggunaannya pada suatu tempat atau wilayah yang tidak membahayakan orang lain.

Dalam keadaan seperti itu, kebebasan tidak bercampur dengan kekacauan dan kekerasan. Maka kebebasan itu menjadi kebebasan bertanggungjawab.

Ketika muncul Islam, dunia dipenuhi perhambaan. Manusia diperhambakan alam pemikirannya, politiknya, sistem kemasyarakatan, keagamaannya, mahupun ekonominya. Islam kemudian mengubah semuanya. Islam datang dengan mengikrarkan kemerdekaan, baik kemerdekaan beriktikad, kemerdekaan berfikir, kebebasan beraksi, dan kebebasan bercakap atau kebebasan mengemukakan pendapat dan penulisan.

Islam datang dan menetapkan prinsip kebebasan dan kemerdekaan. Dalam hal ini, Khalifah Umar al-Khattab pernah mengucapkan perkataannya yang masyhur.

“Sejak bila kamu memperhambakan manusia, pada hal mereka dilahirkan oleh ibundanya dalam keadaan merdeka?".

Saidina Ali Abi Talib, berkata dalam sebuah pesannya: "Janganlah engkau menjadi hamba orang lain, sesungguhnya Allah menjadikan sebagai orang merdeka."

Melihat kebebasan dalam Islam, paling tidak kita dapat melihat daripada aspek berikut:

l Pertama, kebebasan beragama

Islam datang sebagai agama, ia menetapkan kebebasan beragama dan kebebasan berkeyakinan. Islam tidak memaksa seseorang untuk menganut atau menganut agama lain.

l Kedua, kebebasan berfikir

Islam sangat menghargai kebebasan berfikir dan kebebasan ilmiah.

Kita lihat bagaimana ulama berbeza pendapat, sebahagian daripada mereka menolak atau menerima pendapat sebahagian yang lainnya. Namun tidak seorangpun di antara mereka yang menganggap tercela golongan lainnya.

Justeru, melihat bagaimana sikap berlapang dada ulama dalam menghadapi perbezaan pendapat. Semua itu adalah bukti menunjukkan kebebasan berfikir dan kebebasan ilmiah dijunjung tinggi di kalangan umat Islam.

Kebebasan mengemukakan pendapat dan mengemukakan kritikan juga diakui Islam, bahkan diberi kesempatan lebih banyak ketika hal ini dijadikannya sebagai sesuatu yang wajib bila berhubungan dengan kemaslahatan umat atau kepentingan adab dan akhlak umum.

Kita harus berani mengucapkan kebenaran, jangan takut dicela orang dalam menegakkan agama Allah, dalam melakukan amar makruf nahi mungkar dan mengajak manusia kepada kebaikan.

Jelas bahawa bertitik tolak daripada kebebasan berfikir, mengkritik, menyampaikan gagasan dan seumpamanya adalah atas nama kebaikan, kemaslahatan awam, dan dengan jalan perdamaian berlandaskan peraturan.

Kebebasan seperti ini dapat berubah kedudukannya dari hak menjadi wajib.

Jika tidak ada orang lain dapat melaksanakannya selain diri kita atau jika kita diam akan menimbulkan bahaya kepada umat, pada waktu itu kita wajib mengutarakan kebenaran. Jangan takut terhadap risiko akan terjadi.

l Ketiga, kebebasan beraksi

Islam juga sangat menghargai sikap dan tingkah laku kita.

Umat Islam diberikan kebebasan untuk bekerja, beramal dalam menggapai kurniaan Allah.

Sebelum kita bekerja, harus memilih pekerjaan sesuai dengan etika moral yang diajarkan agama. Tidak setiap pekerjaan yang menghasilkan wang mendapat keredaan Allah.

Kebebasan dalam beraksi, bekerja, bertindak bukanlah bebas tanpa peraturan dan undang-undang serta hukumnya.

Berdemonstrasi atas nama demokrasi melalui tindakan melampau, kejam dan memaksa bukanlah bahagian dari kebebasan yang dikehendaki dan ia menyalahi nilai kemanusiaan sejagat.

Islam tidak mengajarkan kebebasan untuk berbuat fasik, tetapi kebebasan untuk melaksanakan kebenaran dan hak. Islam mengakui kebebasan berfikir, berpendapat, bercakap, mengkritik, beragama dan bertindak.

Inilah kebebasan menjadi tumpuan dan tempat menggerakkan kehidupan. Kita bebas untuk melakukan transaksi, bebas untuk melakukan sesuatu tidak mengganggu orang lain. Bebas melakukan sesuatu dengan syarat dan ketentuan hukum dan undang-undang yang disyariatkan, tanpa merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Itulah kaedah umum dalam Islam, iaitu 'La dharara Wa La Dhirar' (Jangan engkau membuat mudarat bagi dirimu, dan jangan berbuat yang membahayakan bagi orang lain).

Hukum dan undang-undang mesti ditegakkan secara tegas dan pasti dikenakan kepada sesiapa yang bersalah, atau yang melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang agama dan pemerintah.

Perspektif Ikim: Keluarga bahagia ukuran kejayaan ibu cemerlang

Tanggungjawab wanita didik anak jadi insan berguna, beri khidmat kepada masyarakat

ISLAM meletakkan wanita pada kedudukan mulia, terutama apabila mereka menjadi seorang ibu, mulianya taraf ibu dalam Islam tidak boleh dipertikaikan lagi.

Di dalam al-Quran dan hadis, banyak tuntutan dan nasihat supaya memuliakan ibu. Hinggakan ke satu tahap, kelayakan insan untuk diterima ke syurga diletakkan di telapak kaki ibu.

Namun, ibu yang bagaimanakah boleh dianggap sebagai mulia? Adakah setiap wanita yang bergelar ibu, adalah ‘ibu’ yang dimaksudkan? Atau, pada ketika manakah, ibu itu benar-benar bergelar seorang ‘ibu’?

Saat awal seorang wanita bergelar ibu adalah ketika beliau melahirkan anaknya. Namun, adakah dengan hanya melahirkan anak, seorang wanita benar-benar layak bergelar ibu?

Pastinya, ramai yang akan menjawab alam keibuan itu tidak akan lengkap dengan hanya melahirkan anak ke dunia tetapi lebih penting untuk memberikan anak jaminan kasih-sayang dan keselamatan, sentuhan, perhatian, jagaan serta pendidikan. Oleh itu, apabila semua tuntutan ini lengkap, wanita sah bergelar seorang ibu.

Dengan jawapan diberi itu, maka lihat pula keadaan dunia kini. Anak kita kini dijaga oleh ibunya atau lebih banyak dijaga pembantu atau penjaga? Masa seorang ibu lebih banyak di rumah atau di luar, bekerja serta berpersatuan? Pendidikan anak dipikul guru atau ibu mereka atau ibu kini hanya sekadar bertanya sama ada anak sudah selesai kerja sekolahnya?

Persoalan dipaparkan itu sebenarnya membawa kepada satu persoalan penting iaitu sama ada ibu pernah terfikir adakah diri mereka sudah menjadi ibu sebenarnya terhadap anak?

Penulis pasti, tidak ramai ibu yang pernah atau benar-benar memikirkan keadaan ini. Kesibukan hidup seharian kadang-kala tidak memungkinkan kita memikirkan perkara ini. Malah dalam banyak keadaan, orang mungkin menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu difikirkan.

Namun, dalam dunia serba maju dan sibuk kini, penulis tetap yakin kadang-kala kita perlu menanyakan soalan itu. Ini adalah satu bentuk muhasabah diri. Dengan kata lain, ibu menilai diri mereka sendiri demi untuk mengubah sesuatu yang silap dan merancang sesuatu lebih baik. Misalnya, jika memikirkan diri terlalu sibuk dan tiada masa untuk keluarga, maka berubahlah. Rancangkan sesuatu kegiatan yang boleh diamalkan bersama keluarga. Lanjutan dari ini tetapkan azam untuk memberi lebih perhatian kepada keluarga.

Sebenarnya, tidaklah salah untuk seorang ibu menjadi sibuk. Mereka boleh saja sibuk dalam urusan rumah tangga mahupun pekerjaan. Namun, apa yang menimbulkan kesedihan ialah apabila kesibukan ibu adalah satu kesibukan yang dicipta semata-mata. Misalnya, mementingkan pertemuan dalam persatuan di hujung minggu sedangkan masa itu sepatutnya diperuntukkan untuk anak. Berjam di pusat rawatan kecantikan sedangkan anak dibiar berlari dan menjerit-jerit dikejar pembantu rumah.

Kita yakin, setiap wanita yang bergelar ibu ada cara yang tersendiri untuk membawa watak mereka itu. Ada yang lebih selesa menguruskan rumah tangga sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang luar. Ramai juga ibu yang memerlukan bantuan dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Kedua-dua keadaan ini tidak ada salahnya. Apa yang salah adalah apabila kita menganggap kita terlalu memberikan tumpuan kepada perkara lain sehingga keluarga terabai.

Sebenarnya, sering kali orang berkata penting keluarga dalam hidup mereka tetapi dalam keadaan sebenarnya, apa pula amalan kita untuk membuktikan perkara itu. Misalnya, bagi seorang ibu, anak sangat penting. Malah jika ditanya maka ramai yang akan berkata mereka sanggup melakukan apa saja untuk kesejahteraan anak. Namun dalam keadaan sebenar, selalunya berbeza.

Jika dipanggil untuk menghadiri pertemuan guru dan ibu bapa, berapa ramaikah ibu bapa yang turut serta? Jika anak menunjukkan hasil lukisan mereka di sekolah, berapa ramaikah ibu bapa yang benar-benar memerhatikan lukisan yang ditunjukkan itu? Sering kali kita terjerat di dalam perangkap kesibukan dalam hidup.

Apabila ditanya, ramai yang akan berkata terlalu sibuk dengan kerja atau kegiatan yang lain hingga tidak dapat membawa anak bercuti atau menghadiri kegiatan anak di sekolah. Begitu mudah kita meletakkan kesalahan kepada kesibukan hidup. Ini mengingatkan penulis nasihat keluarga manusia yang harus mengurus masa dan bukan sebaliknya.

Maka jelas terbukti melahirkan anak bukan satu syarat utama untuk bergelar ibu. Ada banyak tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memastikan wanita layak memegang gelaran itu. Namun, jika dilihat dalam dunia kita, ramai pula ‘ibu’ yang terlupa akan hakikat ini.

Ini adalah usaha saling mengingatkan akan hakikat tanggungjawab seorang ibu. Hakikatnya, tanggungjawab utama wanita adalah kepada keluarga. Apa-apa yang diamalkan dalam hidup, misalnya bekerja, seharusnya dikaitkan dengan keluarganya. Malah kejayaannya di dunia dan di akhirat juga akan diukur dari sudut ini dan bukannya semata-mata kejayaan sebagai pekerja terbaik atau ahli persatuan paling setia.

Apa yang pasti, setiap keistimewaan datang dengan tanggungjawab yang besar. Oleh itu, keistimewaan yang diberikan kepada wanita untuk menjadi seorang ibu juga datang dengan tanggungjawab tertentu. Sebagai perbandingan, lihat saja sekeliling kita. Seorang ketua pengarah, mendapat kedudukan jawatan tinggi tetapi mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin orang bawahannya.

Sama dengan wanita. Keistimewaan yang dianugerahkan kepada mereka bukan sekadar mengiktiraf kedudukan mulia mereka tetapi lebih penting lagi keistimewaan itu datang dengan tugas yang besar, iaitu mendidik anak menjadi insan yang berguna dan dapat berkhidmat dengan cemerlang dalam masyarakat.

Kisah Sayyidati Fatimah, anakanda Rasulullah. Suatu hari Fatimah berjumpa dengan Rasulullah SAW meminta seorang pelayan dari hasil tawanan perang. Hasratnya, pelayan itu dapat membantunya dalam urusan rumah tangga. Namun Rasulullah menolak permintaan itu dan kemudian mengajar Fatimah beberapa potong doa dan menyuruhnya supaya meminta tolong kepada Allah untuk mengurus rumah tangga, mendidik anak serta melayani suami.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW memberi nasihat, “Hai Fatimah, sabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita adalah yang memberi manfaat kepada keluarganya”. Oleh itu, sedarlah ibu ukuran kejayaan seorang ibu bukan semata-mata kejayaan dalam kerjaya, pendidikan atau kedudukan dalam masyarakat tetapi yang lebih penting adalah kejayaan ibu dalam membina keluarga bahagia.

Generasi cuai solat, ikut nafsu punca kehancuran bangsa

SETIAP keluarga bahagia pasti mengimpikan zuriat keturunan yang baik. Zuriat keturunan ini amat penting dalam kehidupan manusia sejagat kerana tempoh kehidupan manusia itu sendiri amat terbatas dan sudah pasti keturunan adalah penerus kelangsungan warisan dan kemuliaan ibu bapa.

Zuriat juga adalah aset terpenting yang dimiliki sesuatu bangsa dan negara sebagai generasi pewaris yang bakal meneruskan kelangsungan kepimpinan yang ada sekarang. Pendek kata, zuriat keturunan adalah harta kekayaan yang tiada ternilai harganya, di dunia dan akhirat.

Rasulullah bersabda bermaksud, “Apabila seorang anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka akan terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan salih, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakan orang tuanya. (Hadis riwayat Muslim).

Maksud hadis itu mengenai zuriat dalam mencorakkan kehidupan sebuah institusi keluarga. Anak salih sebenarnya adalah hiburan dan penyejuk mata hati ibu bapa. Mana-mana ibu bapa yang lama mengharungi kehidupan rumah tangga tetapi tidak dikurniakan zuriat keturunan sudah pasti akan berasa sedih kerana cita-cita dan harapan mereka berdua tidak dapat disalurkan dan diwujudkan dalam hidup. Hanya kepada anak-anak harapan dan cita-cita dapat menjadi kenyataan.

Jika dihalusi, Islam memberikan perhatian serius terhadap keturunan yang baik. Antaranya doa Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya Nabi Ismail selepas selesainya pembinaan Kaabah seperti termaktub dalam surah al-Baqarah, ayat 128 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah dari keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan umat Islam keturunan atau generasi yang buruk yang akan menggantikan generasi yang sebelumnya. Ini dapat dilihat melalui firman Allah yang bermaksud: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan (yang buruk) yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). - (Surah Maryam, ayat 58)

Dua ciri utama generasi yang buruk yang akhirnya membawa kepada kehancuran bangsa itu. Pertama, generasi yang mencuaikan pelaksanaan solat dalam kehidupan seharian. Sedangkan solat adalah tiang agama dan juga amalan yang pertama sekali dihisab pada hari kiamat kelak.

Selain itu, solat adalah satu jalinan suci yang menggambarkan perhubungan batin antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Solat adalah amalan utama yang mempengaruhi amalan perbuatan yang lain. Ironisnya, seseorang yang rajin melaksanakan ibadat solat dengan baik dan istiqamah mempunyai benteng ketahanan diri yang cukup kuat daripada perbuatan keji dan mungkar.

Dalam erti kata lain, apabila sesuatu generasi mencuaikan ibadat solat dalam kehidupan sejagat, maka mereka sebenarnya sudah tersasar dari landasan hidup yang lurus dan akhirnya mereka hanya menanti saat-saat kehancuran dan kebinasaan akibat kecuaian dan kelalaian mereka sendiri dalam melaksanakan perintah Allah taala tersebut.

Kedua, generasi yang buruk pula adalah susulan dari akibat kecuaian mereka dalam melaksanakan solat ialah menurut kehendak hawa nafsu. Apabila ketahanan diri amat rapuh dalam jiwa, hati dengan begitu mudah terdorong kepada pujukan hawa nafsu yang hanya menyuruh kepada perbuatan yang keji dan mungkar.

Ke mana saja hawa nafsunya condong, ke situlah dia akan berjalan. Generasi yang seumpama ini tidak lagi mempedulikan perkara halal dan haram serta dosa dan pahala. Malah, apa yang penting bagi mereka ialah mereka dapat melakukan kesemua perkara selaras dengan kehendak hawa nafsu mereka itu.

Natijahnya, merebaknya gejala sosial di dalam setiap sendi masyarakat Islam hingga akhirnya ia membarah teruk dan seterusnya mengganggu gugat keamanan dan keharmonian yang dinikmati umat Islam.

Gejala sosial membabitkan generasi muda dewasa ini adalah satu petanda yang mengisyaratkan akan kebenaran wahyu Ilahi mengenai kemunculan generasi yang buruk dalam kehidupan umat Islam kini.

Oleh itu, umat Islam wajib mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan generasi muda kini supaya mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan serta diasuh dan dibimbing supaya mereka menjadi generasi yang baik yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan Islam pada masa akan datang.

Apakah persediaan perlu dijana kepada generasi muda supaya mereka berupaya melayakkan diri sebagai generasi yang baik sebagai mana dikehendaki Allah. Perlu insaf persediaan dimaksudkan ini bukan hanya sekadar persediaan material yang tidak boleh menjamin apa-apa kebahagiaan di dunia mahu pun di akhirat kelak.

Persediaan sebenar yang wajib diisi dalam diri generasi muda ialah iman, ilmu dan ketakwaan. Ini amat penting dalam kehidupan generasi muda semasa menelusuri pentas hidup yang penuh cabaran.

Hanya dengan iman, ilmu dan takwa sajalah, seorang anak muda akan bijak memilih mana yang hak dan yang batil, mana yang baik dan mana yang buruk. Berbekalkan iman, seorang anak muda dapat membezakan mana tingkah laku baik yang mesti dilestarikan dan dilanjutkan sehingga menjadi koleksi amalan soleh baginya dan mana perilaku buruk yang mesti diperbetulkan dan dibuangkan jauh dari kamus kehidupan.

Dengan ilmu, seorang anak dapat membalas jasa dan kasih sayang orang tua yang sejati di mana mereka berdua sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dengan takwa, seorang anak yang soleh hanya menampilkan nilai-nilai keperibadian yang luhur kepada umat manusia sejagat.

Thursday, February 5, 2009

Hutan sebagai Sumber Bahan Mentah

Hutan merupakan tempat asal kebanyakan daripada tanaman makanan manusia dan haiwan.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti durian (Durio sp.), manggis (Garcinia mangostana), tampoi (Baccaurea griffthii) dan rambutan (Nephelium lappaceum).Pada asalnya buah-buahan ini hanyalah merupakan sumber karbohidrat bagi kaum orang Asli dan masyarakat tempatan.Tetapi kini, ia mula menjadi salah satu daripada keluaran hutan yang diperdagangkan.Buah-buahan ini, telah dikomersilkan dan ini sekaligus membantu ekonomi manusia.

Selain daripada itu, hutan juga merupakan gedung yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan.Campuran bahan kimia penting yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan telah menghasilkan bahan yang boleh dijadikan ubat.Contohnya, ubat anti-Malaria dan quinine telahpun ditemui dan terbukti mujarab.Di samping itu, terdapat juga sumber-sumber yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi seperti damar, resin, pencelup (dyes) dan sebagainya.Hasil penemuan penyelidikan yang terbaru ialah minyak pokok keruing gondol (Dipterocarpus kerrii) sebagai bahan asas dalam pemprosesan minyak wangi tempatan.



LoVe Of FlOrA n FaUnA

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber alam semulajadinya.Hutan adalah salah satu daripada sumber alamnya.Ia dikenali sebagai Hutan Hujan Tropika.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah hutan yang tertua di dunia yang mana ia hanya boleh ditemui di kawasan Khatulistiwa.

Malaysia beruntung kerana mempunyai kawasan-kawasan hutan asli.Sebagaimana yang diketahui hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia mempunyai ekosistem yang kompleks.Ia sangat penting kepada kehidupan flora dan faunanya yang pelbagai jenis.Hutan bukan sahaja menyediakan berbagai keperluan asas kepada kehidupan flora dan fauna yang wujud di dalamnya, bahkan ia turut menyediakan pelbagai keperluan kepada kehidupan manusia.

Berdasarkan kepada penemuan fakta dan bukti-bukti botani, manusia telah bergantung hidup pada hutan sejak zaman purba lagi.Di peringkat itu, manusia hidup di dalam hutan dan menjadikan hutan sebagai sumber makanan untuk meneruskan penghidupan mereka.Manusia hidup sebagai pemburu, memburu binatang dan mengumpul makanan daripada tumbuhan serta menjadikan gua-gua batu kapur sebagai tempat kediaman.Jelas di sini, hutan sangat berguna dan berperanan dalam kehidupan manusia.Untuk melihat kegunaan dan peranan hutan terhadap manusia, tajuk-tajuk seterusnyaakan membincangkan dengan lebih lanjut lagi.